Maksud Hadis Nabi SAW : Sekiranya umatku tahu kelebihan yang ada dalam bulan Ramadhan, nescaya mereka inginkan semua bulan menjadi bulan Ramadhan.
Ramadhan adalah hadiah istimewa daripada Allah, tentu kita sewajarnya berusaha sebaik mungkin untuk memperolehi manfaatnya. Ia merupakan bulan yang mengandungi banyak fadilat dan seagung-agung hari serta sebaik-baik malam. Padanya diturunkan Al-Quran.
Dengan menjelang bulan ini, kita dapat melihat orang yang beriman mempunyai reaksi dan keadaan tersendiri. Beruntunglah mereka yang telah merasai sebelum ini keseronokan dengan kedatangannya, kemeriahan dengan kehadirannya dan sentiasa merasai wangian rahmatnya.
Imam Ahmad dan an-Nasaie telah meriwayatkan sebuah hadis dengan isnad yang sahih dari Abu Hurairah radiallahu anhu, beliau berkata : Rasulullah telah bersabda :
“ Ramadhan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat dan Allah SWT telah mewajibkan puasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta dibelenggu syaitan. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang tidak bertemu dengannya ia sangat rugi.”
Ibnu Rejab berkata: Hadis ini pada asalnya ialah sebagai tahniah kepada manusia dengan kedatangan Ramadhan. Bagaimana orang beriman tidak mendapat berita gembira dengan terbuka pintu syurga? Dan bagaimana orang berdosa tidak mendapat berita gembira denga tertutup pintu neraka? Bagaimana pula orang yang berakal tidak mendapat berita gembira dengan terbelenggunya segala syaitan?
Al-Bukhari telah meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang maksudnya:
“Apabila datang bulan Ramadhan, dibuka pintu langit (dalam riwayat yang lain, ‘pintu syurga’) ditutup pintu dan dibelenggu syaitan.”
Seolah-olah Allah SWT berfirman kepada hambaNya bahawa alasan yang sering dikemukakan untuk tidak berbuat kebajikan ialah syaitan. Sekarang Allah telah menangkap dan memenjarakannya. Tiada alasan lagi selepas ini dan hanya tinggal antara hendak dengan tidak bagi diri kita untuk merebut peluang keemasan yang Allah tawarkan ini.
Oleh itu, apa tunggu lagi?? Jangan tunggu hingga 10 terakhir Ramadhan untuk memperbanyakkan amal ibadat. Ia hanya akan membuatkan kita semakin malas untuk mengerjakannya. Sebaliknya, perbanyakkanlah amalan seawal Ramadhan kerana ia apabila tiba 10 hari terakhir Ramadhan, kita akan terasa lebih ringan untuk menziadahkan ibadat. Atau jangan tunggu hingga Ramadhan akan datang! Kerana kita tidak tahu, apakah umur kita masih tersisa banyak untuk menikmati saljunya nikmat Ramadhan akan datang…….
NaWWaR MutmaiNNa
Seeking for mardhatiLLah

No comments:
Post a Comment